Saturday 17 March 2012

Pengajaran Berpusatkan Murid (Student Centre Learning)




            Pembelajaran merupakan suatu proses yang berlaku dalam akal fikiran atau lebih dikenali sebagai kognitif dan kesan dari proses ini akan dapat dilihat melalui perubahan dalam tingkah laku dan percakapan. Di dalam proses pembelajaran pelbagai kaedah serta teori telah diutarakan bagi memastikan proses pembelajaran ini akan lebih berkesan kepada murid-murid serta para pelajar. Salah satu teori yang ditemui ialah teori konstruktif. Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) berdasarkan konstruktif ini menyeimbangkan peranan guru dan pelajar untuk saling bersandar di antara satu sama lain. Peranan guru hanya dilihat sebagai pengawal bilik darjah selain mereka seharusnya menerima murid-murid sebagai individu yang mempunyai ciri-ciri perlakuan yang berbeza. Melalui teori ini ia dapat membuka ruang serta peluang kepada guru untuk memilih kaedah yang sesuai dalam memperolehi sesuatu konsep dan pengetahuan.
 Pengajaran berpusatkan murid adalah suatu kaedah untuk  meningkatkan penglibatan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan bertujuan untuk menggalakan murid menjadi aktif dan tidak pasif, meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi, menambahkan keyakinan diri, memberi murid peluang membuat penyampaian dan bercakap, menggalakkan murid menghasilkan idea dan memberi pendapat, menggalakkan murid membina ilmu dan mewujudkan suasana kerjasama di kalangan murid.
Saya memilih konsep berkenaan kerana sebagai guru yang bijak melaksanakan tugasnya seharusnya bijak mencari ruang dan peluang utuk memilih kaedah mengajar yang sesuai dalam memperolehi sesuatu konsep dan pengetahuan. Menurut Borich & Tombari (1997)-Educational Phychology, A Contemporary Approach halaman 177 menyebut:

 “Constructivisme...an approach to learning in which learners are provided the opportunity to construct their own sense of what is being learned by building internal or relationship among the ideas and fact being taught”.


Petikan ini dapat difahami sebagai pendekatan pembelajaran yang menyediakan peluang kepada pelajar untuk membina kefahaman terhadap perkara yang dipelajari dengan mewujudkan jaringan antara idea serta fakta yang sedang diajar atau dipelajari.

Konsep ini dapat di kaitkan dengan pengajaran kepelbagaian pelajar melalui idea yang dikupas daripada teori konstruktivisme. Konstruktif adalah pendekatan yang memberi hak dan peluang untuk murid-murid belajar untuk belajar (learn how to learn) dengan membina makna dan kefahaman yang tinggi dalam kerangka minda masing-masing. Berdasarkan kepada pengalaman dan persekitaran yang sedia ada. Keadaan ini menuntut agar guru lebih prihatin terhadap keperluan dan kehendak pelajar secara individu. Walaupun begitu konstruktivisme merupakan suatu anjakan yang perlu diaplikasikan bertujuan untuk memberi peluang dan membuka ruang kepada pelajar di dalam merialisasikan dalam kehidupan seharian mereka. Selain itu, Pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan konstruktivisme memberi peluang kepada guru untuk memilih kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dan menentukan sendiri masa yang diperlukan untuk memperolehi sesuatu konsep atau pengetahuan. Di samping itu, guru dapat membuat penilaian kendiri dan menilai kefahaman orang lain supaya kefahamannya tentang sesuatu bidang pengetahuan dapat ditingkatkan lagi.

Tamadun


1.0              Pendahuluan
Apabila diajukan soalan mengenai perbezaan di antara manusia dan haiwan, jawapan umum yang akan diterima ialah akal dan akhlak. Manusia mempunyai akal fikiran manakala haiwan tidak punya akal melainkan naluri semata dan tidak mampu untuk menilai baik dan buruk. Akhlak diunjurkan sebagai sesuatu yang jelas malah didorong oleh rasa ingin tahu dan ini merupakan satu aspek yang menjadi titik permulaan dalam proses pemikiran dan penyelidikan secara khusus dalam pelbagai bidang sejak dahulu lagi. Akhlak merupakan suatu fenomena kemanusiaan yang tidak dapat dipisahkan dari kehidupan harian manusia.
Menyentuh isu akhlak, ia merupakan bahan utama dalam menentukan kemajuan serta tamadun manusia dengan bergantung kepada kekuatan dan keutuhan sesebuah masyarakat dan bangsa. Tamadun sesebuah masyarakat juga bergantung kepada dua unsur utama iaitu dari segi material atau kebendaan dan dari segi akhlak atau rohani.
Tumpuan antropologi budaya ialah masyarakat secara menyeluruh. Antropologi juga cuba menghuraikan bagaimana terdapat perbezaan dari segi sosial dan budaya tetapi pada masa yang sama antropologi ingin memahami persamaan antara sistem sosial yang berbagai-bagai itu dalam konteks hubungan kemanusiaan. Ini agak sinonim dengan kenyataan Claude Levi-Strauss; “Antropologi itu menjadikan manusia sebagai bahan penelitiannya, tetapi berbeza dengan sains kemanusiaan yang lain, antropologi cuba menangani bahan penelitiannya melalui kepelbagaiannya yang sangant luas” (1983, h.49).
Clifford Geertz dalam sebuah karyanya yang membincangkan perbezaan antara manusia dan haiwan pula mengatakan bahawa; “Kalau kita ingin mengetahui apa yang membentuk manusia, kita boleh melihatnya daripada manusia itu sendiri: tetapi apa yang menjadikan manusia itu manusia, di antara yang terunggul, ialah kepelbagaiannya. Hanya dengan memahami kepelbagaian ini — baik dari segi jenisnya, bentuknya, asasnya, dan kesannya — barulah boleh kita membentuk satu konsep berkenaan sifat manusia, iatu konsep yang mempunyai isi dan kebenaran, yang bukan dibayangi oleh perangkaan dan gambaran mimpi yang agak kabur.” (Geertz 1973, h. 529)
Perkataan antropologi berasal dari bahasa Greek iaitu anthropos dan logos yang bermaksud manusia dan huraian. Oleh itu, antropologi bermaksud ‘huraian tentang manusia’ dan sosial antropologi menjurus kepada pengetahuan tentang manusia dalam sesebuah masyarakat.

1.1       Budaya dan Tamadun
Budaya atau culture berasal dari perkataan Latin colere yang mempunyai sama erti dengan cultivate atau mencambah dan ini merujuk kepada budaya. Dalam antropologi ungkapan mencambah budaya bermakna pengetahuan berkenaan dengan manusia yang dicambah dengan budaya. Tujuan utama budaya adalah untuk membina imej negara ke arah mewujudkan keperibadian serta indentiti.
Perlu diingat bahawa konsep budaya itu sendiri agak kabur dan istilah budaya itu sendiri merujuk kepada persamaan asas yang sedia ada dan terdapat pada setiap orang. Maka apakah budaya itu? Ia merupakan sesuatu yang diwarisi sejak dari dahulu sehinggalah sekarang. Ia bersifat berubah-ubah dan tidak kekal kerana mengikut peredaran masa agar boleh diterima oleh golongan masyarakat secara kolektif. Nik Safiah Haji Abdul Karim mendefinisikan budaya sebagai tenaga fikiran, usaha rohani atau kuasa yang menggerakkan jiwa. Ia juga merupakan hasrat serta nilai yang diingini selari dan sejajar dengan kehendak masyarakat amnya dan dapat diterima dan dipersetujui untuk diamalkan bersama. Nilai in dikatakan akan membentuk norma dalam masyarakat.
Kamus Dewan (2005) mentakrifkan budaya sebagai kemajuan fikiran, akal budi cara berfikir, tingkah laku dan lain-lain. Ia diklasifikasikan sebagai satu cara hidup yang diamalkan oleh kumpulan tertentu dan meliputi sistem sosial, susunan organisasi ekonomi, politik, agama, kepercayaan, adat resam, sikap dan nilai. Sementara itu, dalam ‘Dictionary of Philosophy (1996), turut dijelaskan maksud Budaya sebagai:
   ‘The way of Philosophy (1996), ‘The way of  life of people, including their attitudes, values, beliefs, arts, sciences, modes of perception and habits of thought and activity’.
Amalan yang dibentuk ini akan menentukan hala tuju bersama dalam masyarakat berkenaan. Prof. Mohd Taib Osman (1988) memperlihatkan budaya sebagai satu himpunan kelengkapan intelektual dan kebendaan yang mampu memenuhi kehendak biologi dan kemasyarakatan serta menyesuaikan diri dengan alam sekeliling. Selo Soemardjan dan Soelaiman Soemardi (1984), melihat budaya itu sebagai alat penghasilan karya seni, rasa serta penciptaan dalam sesebuah masyarakat. Menurut E.D. Tylor (1947); “ Budaya merupakan keseluruhan kompleks yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, undang-undang, adat serta  amalan kebiasaan yang lain.”  Ini merujuk kepada perkataan ‘Bourdieu’ yang membawa maksud satu proses sosial yang membolehkan Budaya dan struktur sosial saling berinteraksi. Nilai dalam masyarakat adalah terlalu kompleks. Proses Sosialisasi akan turut membantu memperkembang budaya yang terdiri daripada latar bangsa dan agama.  L.A. White (1956), menjelaskan bahawa;  “budaya merupakan satu pola tingkah laku, objek, alat, idea, sentimen, yang bergantung kepada simbol-simbol”. Tindakan dan Tingkah Laku tersebut akan menunjukkan nilai yang diterima secara bersama oleh setiap individu yang terdapat dalam masyarakat. Kroeber & Kluckohn (1954), berpendapat bahawa budaya “ sebagai sebagai satu Entiti yang mengandungi pola implisit serta eksplisit tentang tingkah laku yang diperoleh dan diwariskan melalui simbol serta berbentuk material.” 
Secara amnya, berdasarkan kepada definisi-definisi yang telah dibentangkan, maksud budaya secara keseluruhan ialah, ia merupakan apa-apa aspek kemanusiaan dari segi sejarah, kesusasteraan, institusi politik, muzik, lukisan, falsafah dan sebagainya. Budaya juga merujuk kepada gaya hidup sesebuah masyarakat atau bangsa. Ia juga merujuk kepada satu cara hidup yang diamalkan oleh kebanyakkan orang termasuk pemikiran, nilai kepercayaan, pandangan dan tabiat berfikir seseorang. Ia juga boleh dikaitkan dengan pengalaman interaksi social individu dengan masyarakat sekelilingnya. Budaya juga merupakan tingkah laku yang wajar dan sesuatu yang telah menjadi kebiasaan dan amalan sesebuah masyarakat yang diadaptasi ke dalam kehidupan seharian yang diterima sebagai perilaku yang betul dan sepatutnya.
Manakala tamadun dari sudut etimologi berasal daripada perkataan maddana dalam baha Arab. Maddana merujuk kepada perbuatan membuka bandar atau kota dan juga perbuatan memperhalus budi pekerti. Kamus Dewan (1998) mendefinisikan tamadun sebagai keseluruhan cara hidup yang merangkumi cara bertindak, cara berkelakuan, berfikir, segala hasil kegiatan, penciptaan berupa kebendaan atau kerohanian sesuatu masyarakat, tamadun dan peradaban. Menurut Ibrahim Anis et al. (1960), perkataan tamadun adalah kata terbitan daripada kata kerja maddana yang bererti pemilihan sesuatu lokasi sebagai tempat tinggal dan membangunkan sesuatu kawasan hingga menjadi suatu perbandaran. Manakala Ibrahim Mustafa et al. (1989) dalam Al-Mu'jam al-Wasit memberi erti yang sedikit berbeza iaitu hidup dalam suasana kehidupan orang bandar dan menikmati kehidupan yang maju. Tamadun juga sering disamakan pengertiannya dengan peradaban yang membawa maksud keadaan dan tingkat kemajuan pada kehidupan jasmani dan rohani dalarn sesebuah bangsa dan masyarakat.
Pengertian umum masyarakat mengenai konsep asas tamadun ialah, keadaan di mana sebuah masyarakat telah keluar dari kehidupan nomad atau mundur apabila berjaya mencapai kemajuan dalam pelbagai aspek kehidupan.  Ia merupakan sebuah peringkat atau tahap di mana kemajuan yang dicapai pada sesuatu zaman dan kehidupan masyarakat moden yang dipenuhi dengan segala kemudahan hasil penggunaan pelbagai alat teknologi. Tamadun boleh ditakrifkan sebagai sejumlah pencapaian dan pemerolehan dalam segala perlakuan, pemikiran, penciptaan yang baik, akhlak baik bagi sesuatu kelompok manusia yang membentuk sebuah bangsa atau negara bangsa. Ia merupakan suatu proses bagi mencapai suatu tahap kehidupaan civil (sopan) bertentangan dengan kehidupan yang biadap atau ‘barbaric’ dengan mencapai satu tahap kesopanan yang tinggi. Tamadun menekankan kepada pencapaian material atau kebendaan dan spiritual atau rohani dalam sebuah masyarakat dianggap sebagai sebuah masyarakat yang bertamadun. Tamadun juga merujuk kepada peradaban. Kamus Dewan menyatakan bahawa tamadun itu ialah “keadaan masyarakat manusia yang dicirikan oleh atau didasarkan pada taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran (sosial, budaya, politik), negara dan penduduknya yang telah mencapai taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran, budaya atau cara hidup”
Tamadun menurut setiap bangsa dan agama adalah pencapaian kemajuan dalam pelbagai bidang kehidupan masyarakat walaupun begitu, seperti budaya, tamadun juga tidak punya tafsiran yang mutlak. Tamadun mengikut acuan Barat lebih menonjolkan aspek pencapaian kebendaan atau material dan ia dijadikan alat pengukur dalam menentukan sesebuah masyarakat itu bertamadun atau mundur. Manakala tamadun mengikut acuan Islam pula lebih tertumpu kepada rohaniah. Ia meletakkan unsur-unsur agama dan menjadikan akidah, syariah dan akhlak sebagai unsur utama atau sebagai dasar dalam pembinaan dan perkembangan tamadun sesebuah masyarakat.
Secara kesimpulannya definisi tamadun banyak dipengaruhi pandangan semesta sesebuah masyarakat yang lahir daripada latar belakang dan pengalaman agama, politik dan kemasyarakatan antara satu dengn lain. Penekanan yang diberikan terhadap adalah berbeza. Contohnya, masyarakat Melayu memandang kemajuan dari segi rohaniah adalah lebih penting dan ianya merujuk kepada kemajuan. Manakala masyarakat seperti di Singapura melihat tamadun itu merupakan kejayaan dari segi material sehingga membelakangi kepercayaan dan pegangan agama dalam menjalankan aktiviti mengumpul kekayaan.



2.0              Fungsi Budaya
Masyarakat yang berbudaya tinggi adalah sama dengan masyarakat yang telah mencapai tamadun yang tinggi dan sempurna berbanding dengan tamadun yang tidak mempunyai budaya langsung di mana masyarakat itu boleh disamakan dengan masyarakat nomad. Tamadun Barat dan Tamadun Islam sendiri mengandungi pelbagai budaya yang wujud dari pelbagai kaum. Contohnya Cina Muslim di China mengamalkan budaya orang China tetapi beragama Islam manakala masyarakat Barat di Eropah dan Amerika mengamalkan budaya yang berbeza di bawah Tamadun Barat. Di sini dapat dilihat bahawa budaya itu berperanan sebagai pencorak yang menjadi acuan dalam membentuk imej luaran dan dalaman sesuatu masyarakat. Shamsul Amri Baharuddin (2007) menyatakan bahawa “salah satu peranan budaya ialah membina imej negara ke arah mewujudkan keperibadian serta indentiti.” Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian kaum amat sinonim dengan rakyatnya yang majmuk tetapi masih berupaya mengamalkan keharmonian dan kestabilan politik di mata dunia sehingga ia menjadi contoh kepada negara-negara yang mempunyai rakyat yang datang dari pelbagai bangsa dan etnik.
Shamsul Amri Baharudin (2007) juga ada menyatakan bahawa peranan kedua budaya itu ialah “memupuk kesedaran kebangsaan dan kenegaraan bercirikan kerohanian, kemanusiaan, spiritual dan mental”. Dalam erti kata lainnya, ia mengajak sesebuah masyarakat itu agar lebih sayang akan asal usul mereka dan seterusnya kepada negara.
Budaya yang berlandaskan agama akan mampu memupuk keperibadian yang tinggi nilai murni dan moral sesebuah masyarakat itu. Masyarakat Asia contohnya terkenal dengan sifat pemalu, tatasusila, kesantunan dan pemikiran yang masih sempit berbanding dengan masyarakat di negara-negara Barat yang kononnya telah lama maju ke depan. Pandangan Barat dan Asia terhadap negara masyarakat Jepun contohnya, pandangan Barat mengenai kemajuan fesyen yang dikenakan oleh muda mudinya adalah fesyen terbaru (merujuk kepada pakaian yang menjolok mata) dan merupakan satu kemajuan dalam bidang fesyen, tetapi bagi pandangan masyarakat Malaysia pula, revolusi fesyen yang dialami muda mudi Jepun ini lebih kepada kemerosotan budaya kerana ianya bertentangan dengan budaya yang diamalkan.
Budaya merupakan panduan kepada sesebuah masyarakat yang menjadi garis panduan bagaimana mereka harus bertingkahlaku.
Budaya juga mengatur hubungan sesama manusia.
Pada masa yang sama budaya member galakan kepada sesebuah masyarakat untuk mencipta.  
Budaya itu juga berperanan dan berfungsi sebagai jambatan perhubungan yang menyatukan kaum dan etnik yang berbeza-beza.