1.0
Pendahuluan
Apabila
diajukan soalan mengenai perbezaan di antara manusia dan haiwan, jawapan umum
yang akan diterima ialah akal dan akhlak. Manusia mempunyai akal fikiran
manakala haiwan tidak punya akal melainkan naluri semata dan tidak mampu untuk menilai
baik dan buruk. Akhlak diunjurkan sebagai sesuatu yang jelas malah didorong
oleh rasa ingin tahu dan ini merupakan satu aspek yang menjadi titik permulaan
dalam proses pemikiran dan penyelidikan secara khusus dalam pelbagai bidang sejak
dahulu lagi. Akhlak merupakan suatu fenomena kemanusiaan yang tidak dapat
dipisahkan dari kehidupan harian manusia.
Menyentuh
isu akhlak, ia merupakan bahan utama dalam menentukan kemajuan serta tamadun
manusia dengan bergantung kepada kekuatan dan keutuhan sesebuah masyarakat dan
bangsa. Tamadun sesebuah masyarakat juga bergantung kepada dua unsur utama
iaitu dari segi material atau kebendaan dan dari segi akhlak atau rohani.
Tumpuan
antropologi budaya ialah masyarakat secara menyeluruh. Antropologi juga cuba
menghuraikan bagaimana terdapat perbezaan dari segi sosial dan budaya tetapi
pada masa yang sama antropologi ingin memahami persamaan antara sistem sosial
yang berbagai-bagai itu dalam konteks hubungan kemanusiaan. Ini agak sinonim
dengan kenyataan Claude Levi-Strauss; “Antropologi itu menjadikan manusia
sebagai bahan penelitiannya, tetapi berbeza dengan sains kemanusiaan yang lain,
antropologi cuba menangani bahan penelitiannya melalui kepelbagaiannya yang
sangant luas” (1983, h.49).
Clifford
Geertz dalam sebuah karyanya yang membincangkan perbezaan antara manusia dan
haiwan pula mengatakan bahawa; “Kalau kita ingin mengetahui apa yang membentuk
manusia, kita boleh melihatnya daripada manusia itu sendiri: tetapi apa yang
menjadikan manusia itu manusia, di antara yang terunggul, ialah
kepelbagaiannya. Hanya dengan memahami kepelbagaian ini — baik dari segi
jenisnya, bentuknya, asasnya, dan kesannya — barulah boleh kita membentuk satu
konsep berkenaan sifat manusia, iatu konsep yang mempunyai isi dan kebenaran,
yang bukan dibayangi oleh perangkaan dan gambaran mimpi yang agak kabur.”
(Geertz 1973, h. 529)
Perkataan
antropologi berasal dari bahasa Greek iaitu anthropos dan logos yang bermaksud
manusia dan huraian. Oleh itu, antropologi bermaksud ‘huraian tentang manusia’
dan sosial antropologi menjurus kepada pengetahuan tentang manusia dalam
sesebuah masyarakat.
1.1 Budaya dan Tamadun
Budaya
atau culture berasal dari perkataan
Latin colere yang mempunyai sama erti
dengan cultivate atau mencambah dan ini merujuk kepada budaya.
Dalam antropologi ungkapan mencambah
budaya bermakna pengetahuan berkenaan dengan manusia yang dicambah dengan budaya.
Tujuan utama budaya adalah untuk membina imej negara ke arah mewujudkan
keperibadian serta indentiti.
Perlu
diingat bahawa konsep budaya itu sendiri agak kabur dan istilah budaya itu
sendiri merujuk kepada persamaan asas yang sedia ada dan terdapat pada setiap
orang. Maka apakah budaya itu? Ia merupakan sesuatu yang diwarisi sejak dari
dahulu sehinggalah sekarang. Ia bersifat berubah-ubah dan tidak kekal kerana
mengikut peredaran masa agar boleh diterima oleh golongan masyarakat secara
kolektif. Nik Safiah Haji Abdul Karim mendefinisikan budaya sebagai tenaga
fikiran, usaha rohani atau kuasa yang menggerakkan jiwa. Ia juga merupakan hasrat
serta nilai yang diingini selari dan sejajar dengan kehendak masyarakat amnya
dan dapat diterima dan dipersetujui untuk diamalkan bersama. Nilai in dikatakan
akan membentuk norma dalam masyarakat.
Kamus
Dewan (2005) mentakrifkan budaya sebagai kemajuan fikiran, akal budi cara
berfikir, tingkah laku dan lain-lain. Ia diklasifikasikan sebagai satu cara
hidup yang diamalkan oleh kumpulan tertentu dan meliputi sistem sosial, susunan
organisasi ekonomi, politik, agama, kepercayaan, adat resam, sikap dan nilai. Sementara itu, dalam ‘Dictionary of Philosophy (1996),
turut dijelaskan maksud Budaya sebagai:
‘The way
of Philosophy (1996), ‘The way of
life of people, including their attitudes, values, beliefs, arts,
sciences, modes of perception and habits of thought and activity’.
Amalan yang dibentuk ini akan menentukan hala tuju
bersama dalam masyarakat berkenaan. Prof. Mohd Taib Osman (1988)
memperlihatkan budaya sebagai satu himpunan kelengkapan intelektual dan
kebendaan yang mampu memenuhi kehendak biologi dan kemasyarakatan serta
menyesuaikan diri dengan alam sekeliling. Selo Soemardjan dan Soelaiman Soemardi
(1984), melihat budaya itu sebagai alat
penghasilan karya seni, rasa serta penciptaan dalam sesebuah masyarakat. Menurut
E.D.
Tylor (1947); “ Budaya
merupakan keseluruhan kompleks yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan,
kesenian, moral, undang-undang, adat serta
amalan kebiasaan yang lain.” Ini
merujuk kepada perkataan ‘Bourdieu’
yang membawa maksud satu proses sosial yang membolehkan Budaya dan struktur sosial saling berinteraksi. Nilai dalam
masyarakat adalah terlalu kompleks. Proses Sosialisasi akan turut membantu memperkembang budaya yang terdiri daripada latar bangsa
dan agama. L.A. White (1956),
menjelaskan bahawa; “budaya merupakan satu pola tingkah
laku, objek, alat, idea, sentimen, yang bergantung kepada simbol-simbol”. Tindakan
dan Tingkah Laku tersebut akan menunjukkan nilai yang diterima secara bersama
oleh setiap individu yang terdapat dalam masyarakat. Kroeber & Kluckohn (1954),
berpendapat bahawa budaya “
sebagai sebagai satu Entiti yang mengandungi pola implisit serta eksplisit tentang tingkah laku yang diperoleh dan diwariskan
melalui simbol serta berbentuk material.”
Secara amnya, berdasarkan kepada definisi-definisi
yang telah dibentangkan, maksud budaya secara keseluruhan ialah, ia merupakan apa-apa
aspek kemanusiaan dari segi sejarah, kesusasteraan, institusi politik, muzik,
lukisan, falsafah dan sebagainya. Budaya juga merujuk kepada gaya hidup
sesebuah masyarakat atau bangsa. Ia juga merujuk kepada satu cara hidup yang
diamalkan oleh kebanyakkan orang termasuk pemikiran, nilai kepercayaan,
pandangan dan tabiat berfikir seseorang. Ia juga boleh dikaitkan dengan pengalaman
interaksi social individu dengan masyarakat sekelilingnya. Budaya juga
merupakan tingkah laku yang wajar dan sesuatu yang telah menjadi kebiasaan dan
amalan sesebuah masyarakat yang diadaptasi ke dalam kehidupan seharian yang
diterima sebagai perilaku yang betul dan sepatutnya.
Manakala tamadun dari sudut etimologi berasal daripada
perkataan maddana dalam baha Arab. Maddana merujuk kepada perbuatan membuka
bandar atau kota dan juga perbuatan memperhalus budi pekerti. Kamus Dewan
(1998) mendefinisikan tamadun sebagai keseluruhan cara hidup yang merangkumi
cara bertindak, cara berkelakuan, berfikir, segala hasil kegiatan,
penciptaan berupa kebendaan atau kerohanian sesuatu masyarakat, tamadun dan
peradaban. Menurut Ibrahim Anis et al. (1960), perkataan tamadun adalah kata
terbitan daripada kata kerja maddana yang bererti pemilihan sesuatu lokasi
sebagai tempat tinggal dan membangunkan sesuatu kawasan hingga menjadi suatu
perbandaran. Manakala Ibrahim Mustafa et al. (1989) dalam Al-Mu'jam al-Wasit
memberi erti yang sedikit berbeza iaitu hidup dalam suasana kehidupan orang
bandar dan menikmati kehidupan yang maju. Tamadun juga sering disamakan
pengertiannya dengan peradaban yang membawa maksud keadaan dan tingkat kemajuan
pada kehidupan jasmani dan rohani dalarn sesebuah bangsa dan masyarakat.
Pengertian umum masyarakat mengenai
konsep asas tamadun ialah, keadaan di mana sebuah masyarakat telah keluar dari
kehidupan nomad atau mundur apabila berjaya mencapai kemajuan dalam pelbagai
aspek kehidupan. Ia merupakan sebuah
peringkat atau tahap di mana kemajuan yang dicapai pada sesuatu zaman dan
kehidupan masyarakat moden yang dipenuhi dengan segala kemudahan hasil
penggunaan pelbagai alat teknologi. Tamadun boleh ditakrifkan sebagai sejumlah
pencapaian dan pemerolehan dalam segala perlakuan, pemikiran, penciptaan yang
baik, akhlak baik bagi sesuatu kelompok manusia yang membentuk sebuah bangsa
atau negara bangsa. Ia merupakan suatu proses bagi mencapai suatu tahap
kehidupaan civil (sopan) bertentangan dengan kehidupan yang biadap atau
‘barbaric’ dengan mencapai satu tahap kesopanan yang tinggi. Tamadun menekankan
kepada pencapaian material atau kebendaan dan spiritual atau rohani dalam
sebuah masyarakat dianggap sebagai sebuah masyarakat yang bertamadun. Tamadun juga
merujuk kepada peradaban. Kamus Dewan menyatakan bahawa tamadun itu ialah “keadaan masyarakat manusia yang
dicirikan oleh atau
didasarkan pada taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran (sosial,
budaya, politik), negara dan penduduknya yang telah mencapai taraf kemajuan
kebendaan serta perkembangan pemikiran, budaya atau cara hidup”
Tamadun
menurut setiap bangsa dan agama adalah pencapaian kemajuan dalam pelbagai
bidang kehidupan masyarakat walaupun begitu, seperti budaya, tamadun juga tidak
punya tafsiran yang mutlak. Tamadun mengikut acuan Barat lebih menonjolkan
aspek pencapaian kebendaan atau material dan ia dijadikan alat pengukur dalam
menentukan sesebuah masyarakat itu bertamadun atau mundur. Manakala tamadun
mengikut acuan Islam pula lebih tertumpu kepada rohaniah. Ia meletakkan
unsur-unsur agama dan menjadikan akidah, syariah dan akhlak sebagai unsur utama
atau sebagai dasar dalam pembinaan dan perkembangan tamadun sesebuah
masyarakat.
Secara
kesimpulannya definisi tamadun banyak dipengaruhi pandangan semesta sesebuah
masyarakat yang lahir daripada latar belakang dan pengalaman agama, politik dan
kemasyarakatan antara satu dengn lain. Penekanan yang diberikan terhadap adalah
berbeza. Contohnya, masyarakat Melayu memandang kemajuan dari segi rohaniah
adalah lebih penting dan ianya merujuk kepada kemajuan. Manakala masyarakat
seperti di Singapura melihat tamadun itu merupakan kejayaan dari segi material
sehingga membelakangi kepercayaan dan pegangan agama dalam menjalankan aktiviti
mengumpul kekayaan.
2.0
Fungsi
Budaya
Masyarakat
yang berbudaya tinggi adalah sama dengan masyarakat yang telah mencapai tamadun
yang tinggi dan sempurna berbanding dengan tamadun yang tidak mempunyai budaya
langsung di mana masyarakat itu boleh disamakan dengan masyarakat nomad.
Tamadun Barat dan Tamadun Islam sendiri mengandungi pelbagai budaya yang wujud
dari pelbagai kaum. Contohnya Cina Muslim di China mengamalkan budaya orang
China tetapi beragama Islam manakala masyarakat Barat di Eropah dan Amerika
mengamalkan budaya yang berbeza di bawah Tamadun Barat. Di sini dapat dilihat
bahawa budaya itu berperanan sebagai pencorak yang menjadi acuan dalam
membentuk imej luaran dan dalaman sesuatu masyarakat. Shamsul Amri Baharuddin
(2007) menyatakan bahawa “salah satu peranan budaya ialah membina imej negara
ke arah mewujudkan keperibadian serta indentiti.” Malaysia yang kaya dengan
kepelbagaian kaum amat sinonim dengan rakyatnya yang majmuk tetapi masih berupaya
mengamalkan keharmonian dan kestabilan politik di mata dunia sehingga ia
menjadi contoh kepada negara-negara yang mempunyai rakyat yang datang dari
pelbagai bangsa dan etnik.
Shamsul
Amri Baharudin (2007) juga ada menyatakan bahawa peranan kedua budaya itu ialah
“memupuk kesedaran kebangsaan dan kenegaraan bercirikan kerohanian,
kemanusiaan, spiritual dan mental”. Dalam erti kata lainnya, ia mengajak
sesebuah masyarakat itu agar lebih sayang akan asal usul mereka dan seterusnya
kepada negara.
Budaya yang
berlandaskan agama akan mampu memupuk keperibadian yang tinggi nilai murni dan
moral sesebuah masyarakat itu. Masyarakat Asia contohnya terkenal dengan sifat
pemalu, tatasusila, kesantunan dan pemikiran yang masih sempit berbanding
dengan masyarakat di negara-negara Barat yang kononnya telah lama maju ke
depan. Pandangan Barat dan Asia terhadap negara masyarakat Jepun contohnya,
pandangan Barat mengenai kemajuan fesyen yang dikenakan oleh muda mudinya
adalah fesyen terbaru (merujuk kepada pakaian yang menjolok mata) dan merupakan
satu kemajuan dalam bidang fesyen, tetapi bagi pandangan masyarakat Malaysia
pula, revolusi fesyen yang dialami muda mudi Jepun ini lebih kepada kemerosotan
budaya kerana ianya bertentangan dengan budaya yang diamalkan.
Budaya merupakan
panduan kepada sesebuah masyarakat yang menjadi garis panduan bagaimana mereka
harus bertingkahlaku.
Budaya juga
mengatur hubungan sesama manusia.
Pada masa
yang sama budaya member galakan kepada sesebuah masyarakat untuk mencipta.
Budaya itu
juga berperanan dan berfungsi sebagai jambatan perhubungan yang menyatukan kaum
dan etnik yang berbeza-beza.
No comments:
Post a Comment