Saturday 11 February 2012

Baju Etnik Kadazan Dusun


PENGENALAN
Etnik KadazanDusun merupakan sebuah etnik majoriti di Negeri Sabah. Etnik KadazanDusun biasanya didapati di Pantai Barat Sabah, dan di kawasan pedalaman. Pada asalnya, etnik Kadazan dan Dusun ini merupakan dua etnik yang berbeza tetapi atas alasan inisiatif politik dengan tujuan menyatupadukan kaum-kaum tersebut kedua-dua kaum ini disatupadukan menjadi sebuah etnik terbesar di Sabah.[1]
Kebudayaan etnik KadazanDusun secara amnya dipengaruhi dengan aktiviti penanaman padi. [2]Oleh yang demikian Pesta Menuai atau lebih dikenali sebagai Tadau Kaamatan merupakan pesta kebesaran yang disambut meriah oleh suku kaum ini pada 30 dan 31 bulan Mei setiap tahun sebagai tanda berakhirnya musim menuai padi.
Acara kemuncak bagi perayaan ini ialah acara Ratu Cantik atau Ungduk Ngadau sebagai memperingati Huminodon, yang menurut lagenda seorang gadis cantik yang bernama Huminodon yang telah rela menjadi korban sebagai ganti kepada hasil tuaian yang mengakhiri musim kebuluran yang melanda orang-orang kampung. Dalam acara kemuncak ini (Ngunduk Ngadau), setiap daerah akan menghantar wakil untuk bersaing merebut gelaran Ngunduk Ngadau tersebut. Dari acara ini, terserlahlah pakaian tradisional kaum KadazanDusun dari seluruh negeri Sabah.
Menurut Puan Pinah Pindah, pakaian tradisional etnik KadazanDusun ini tidak terbatas kepada satu jenis tetapi kepada beberapa jenis. Boleh dikatakan ianya berbeza dari setiap daerah di Sabah tetapi perhiasan dan tema corak hiasan seperti sulaman yang masih berlandaskan flora dan fauna.

Baju Tradisional Kadazan
Gambar 1: Baju Tradisional Kadazan
Pakaian tradisional ini dijahit dengan menggunakan kain yang berwarna hitam pekat dan menurut Puan Pinah lagi, kebiasaannya ia diperbuat daripada kain jenis baldu kerana senang didapati di pasaran berbanding dengan kain kapas yang harganya agak mahal. Baju Sinuangga merupakan baju tradisional perempuan yang lazimnya dipertonton dan dikenali ramai. Sila rujuk Gambar 1. Ia merupakan pakaian kaum Kadazan di daerah Penampang, dan sekitar Pantai Barat Sabah. Ia biasanya mempunyai bentuk leher V dan tidak berlengan. Butang Betawi dijadikan hiasan pada baju Sinuangga. Penggunaan butang Betawi pada asalnya menunjukkan kemewahan si pemilik. Jika si pemilik mampu untuk menjahit 30 biji butang Betawi pada bajunya yang juga dikenali sebagai ‘Sonsolobuan’, si pemilik berkenaan dikatakan orang yang berada seperti yang dinyatakan di laman sesawang http://www.fascinatingmalaysia.com/unik/penampg.html.
Skirt atau sarung bagi Sinuangga dikenali sebagai ‘Tapi’. Ia dijadi dalam bentuk silinder yang panjang bagi menunjukkan kelansingan si pemakai. Ia dihias dengan kain berwarna keemasan dari paras punggung ke bawah di bahagian depan Tapi,  dan di sekeliling punggung.
Mengikut peredaran zaman, kini terdapat trend di mana Tapi tidak lagi menggunakan kain keemasan untuk dijadikan hiasan. Puan Pinah biasanya akan menggunakan labuci sebagai hiasan kerana ianya senang didapati berbanding kain keemasan, kini ramai yang menggunakan labuci untuk hiasan. Labuci ini dibentuk menjadi motif flora atau fauna dan kemudiannya dijahit di bahagian bawah ‘Tapi’. Begitu juga dengan Sinuangga, ada juga yang menggunakan labuci dan manik sebagai hiasan.
Pemakaian Sinuangga dan Tapi tidak akan lengkap tanpa perhiasan atau ‘barang kemas’. Menurut Puan Pinah lagi, pada kebiasanya pemenang bagi pertandingan ungduk ngadau ini diadili berdasarkan kepada kelengkapan perhiasan pada pakaian tradisional yang dikenakan semasa pertandingan.
Antara barang kemas yang biasa dipadankan dengan pakaian tradisional ini ialah ‘Himpogot’. Himpogot merupakan himpunan duit syiling perak pada zaman dahulu yang dijadikan sebuah tali pinggang.  Untuk dipadankan dengan pakaian tradisional dari kaum Kadazan ini memerlukan 3 buah sebagai satu set seperti yang ditunjukkan dalam Gambar 2. Pada zaman dahulu ia  bergantung kepada kekayaan si pemakai. Barang kemas yang kedua ialah ‘Tangkong’. Ia diperbuat daripada himpunan cincin tembaga yang dijadikan sebagai tali pinggang dengan menggunakan rotan yang juga dikenali sebagai ‘hindavog’.
Gambar 2: Cara Pemakaian Himpogot dan Tangkong
Gambar 3: Tangkong
Jika si pemakai memakai tangkong yang dililit dengan kain berwarna merah, bererti si pemakai sudah berumahtangga dan jika si pemakai  memakai tangkong yang dililit dengan yang berwarna hitam pula menandakan si pemakai masih belum berpunya. Tetapi pada zaman ini, signifikan-signifikan ini semakin diabaikan kerana pengertian terhadap cara pembuatannya semakin dilupakan.
‘Tiningkos’ pula merupakan sejenis barang kemas yang berbentuk seperti spring tetapi rapat yang dijadikan sebagai gelang. Kebiasaannya ia diperbuat dari perak atau tembaga. Puan Pinah juga ada menyatakan bahawa tiningkos ini jarang didapati kerana ia biasanya dipakai oleh kaum Rungus di bahagian Kudat.
Gambar 4: Tinongkos
Gohong pula ialah sejenis gelang yang dipakai dibahagian kedua belah lengan si pemakai. Rantai leher pula dikenali sebagai ‘hamai’ dan anting-anting pula dikenali sebagai ‘simbong’. ‘Husob’ ialah kain yang berwarna–warni seperti kain batik untuk dipakai secara menyilang di kedua-dua belah bahu si pemakai.
Gambar 5: Pakaian Tradisional bagi Lelaki Kadazan
Bagi pakaian tradisional lelaki pula, ia dikenali sebagai ‘Gaung’. Ia ialah baju berlengan panjang tanpa sulaman. Tetapi pada zaman sekarang, ‘gaung’ dihiasi dengan kain keemasan dan butang yang berwarna keemasan. Kadang-kadang terdapat juga jahitan sulaman bermotifkan flora dan fauna. Seluar yang dipadankan dipanggil ‘souva’. Ia merupakan seluar berwarna hitam dan terdapat seperti tali pinggang berwarna biru-indigo mengelilingi pinggang. Kini souva jarang dipadankan dengan gaung. Pemakai lebih cenderung memadankan gaung dengan seluar berwarna gelap yang senang didapati di kedai sahaja.
‘Siga’ pula merupakan hiasan kepala yang berbentuk segiempat tepat yang kemudiannya dilipat menjadi bentuk tiga segi dan diikat di kepala si pemakai.[3]

Dusun Tindal
Gambar 6: Pakaian Tradisional Dusun Tindal
Gambar 6 menunjukkan pakaian tradisional dari suku kaum Dusun Tindal.  Seperti pakaian tradisional sebelumnya, ia juga dijahit dari kain yang berwarna hitam dan kemudiannya akan dihiasi dengan sulaman. Baju tradisional Dusun Tindal bagi kedua-dua jantina, perempuan dan lelaki, adalah sama sahaja. Menurut  Puan Shirley binti Luis, seorang tukang jahit baju tradisional di Kampung Binaung, Telipok, baju Dusun Tindal kini menjadi trend semasa bagi peserta unduk ngadau kenakan kerana ia susah untuk dijahit dan perhiasannya juga agak sukar untuk didapati.
Belahan dan corak yang terdapat di bahagian lengan baju tradisional bagi kaum Dusun Tindal ini menjadi perbezaan dengan pakaian tradisional kaum Dusun dari daerah lain. Pakaian Dusun Tindal ini dikenali sebagai ‘Sinapak’ atau ‘Sinipak’. Sarung atau skirt bagi baju ‘sinapak’ ini adalah lebih pendek berbanding sarung baju tradisional kaum Kadazan yang panjangnya mencecah buku lali. Skirt bagi sinapak lebih dikenali sebagai ‘gonob’.
Belahan di kedua-dua belah lengan mempunyai sulaman yang menarik dan kebiasaannya warna benang yang dipilih untuk sulaman tersebut ialah berwarna merah pekat dan diselang-selikan dengan warna keemasan atau warna putih. Menurut Puan Shirley, warna terang ini dipilih agar wujud kontras warna yang ketara di atas kain yang berwarna hitam pekat dan ianya lebih tampak menarik dan cantik. Pada zaman sekarang, terdapat reben yang berwarna-warni seakan-akan disulam untuk ditampal terus ke atas baju sinapak dan ini memudahkan kerja si tukang jahit sebagai ganti kepada sulaman yang diterangkan sebelum ini. Ini juga sedikit sebanyak mengubah keaslian dan ketulenan pakaian tradisional ini.
Belahan lengan baju ‘sinapak’ ini bermula di bahagian siku lengan dan ke bawah. Si pemakai akan menyarungkan sehelai kain yang dikenali sebagai ‘sunduk’ atau ‘sunalatan’ di lengan kanan.
Seperti Puan Pinah, Puan Shirley juga ada menyatakan bahawa pakaian tradisional yang tidak lengkap dengan perhiasannya akan mempengaruhi pemarkahan si pemakai yang mengikuti pertandingan unduk ngadau. Berikut merupakan beberapa perhiasan yang diterangkan oleh Puan Shirley berdasarkan kepada pemerhatian beliau sepanjang beliau mengkaji dan melengkapkan koleksi peribadi beliau yang disewakan kepada umum.
Terdapat sepasang kain seperti ‘Husob’ yang diletak secara menyilang di bahagian depan dan mengelilingi bahagian leher ‘sinapak’ yang dikenali sebagai ‘selindang lolopot’ yang membentuk seperti kolar baju yang lebar.
Perhiasan yang dipadankan dengan pakaian tradisional ini antaranya ialah ‘kinokogis’ yang diperbuat daripada manik-manik yang dibentuk untuk menjadi sebuah tali pinggang yang lebar. Manik-manik yang digunakan juga adalah berwarna-warni dan menarik. Ukuran tali pinggang ini sebaik-baiknya dari paras pinggang sehingga ke paras paha si pemakai. Di atas kinokogis pula akan diletak 4 buah tali pinggang yang dihasilkan dari himpunan duit syiling perak yang dipanggil ‘sinipogot’. ‘Sinipoogot’ dan ‘Himpogot’ merupakan tali pinggang syiling yang sama sahaja cuma di lain-lain daerah ia dipanggil dengan nama yang berbeza-beza.
Antara barang kemas yang dipakai bersama dengan pakaian tradisional Dusun Tindal ini ialah gelang yang dipanggil ‘Saring pirok’. Ia dipakai di kedua-dua belah tangan, anting-anting perak dan yang uniknya bagi Dusun Tindal ini, terdapat seakan-akan dua biji bebola lebih kurang sebesar bola tennis di leher yang dikenali sebagai ‘kiupu’. Menurut Puan Shirley, kiupu merupakan kunci utama atau perhiasan wajib yang perlu ada untuk dipadankan dengan sinapak. Tanpa kiupu, baju sinapak hanya sekadar baju biasa sahaja.
Bagi pakaian untuk lelaki pula, seperti pakaian perempuan, ia juga dipanggil ‘Sinapak’ atau ‘Sinipak’. Terdapat dua helai kain yang disilangkan di bahagian depan yang dikenali sebagai ‘Lolopot’. Di bahagian pinggang pula terdapat selempang yang seakan-akan sebuah tali pinggang yang dipanggil ‘ Pomohorot do tawak’. Seluar bagi sinapak lelaki pula mempunyai saiz pinggang yang besar dan ianya dipanggil ‘Soluwar’. Untuk hiasan kepala pula, ianya dipanggil ‘Sigar’. Lelaki juga ada memakai hiasan seperti kuapu, simpogot dan saring pirok.


No comments:

Post a Comment