Saturday 5 May 2012

PJK dan Teori


PENDAHULUAN
Setiap murid adalah berbeza dan unik dari segi teknik pembelajan yang dipengaruhi oleh latar belakang, fizikal, tahap kesihatan dan lain-lain. Sebagai seorang guru, adalah menjadi tanggungjawab setiap orang guru untuk menyediakan rancangan pengajaran harian sehari sebelum perlaksanaan. Ini bukan sahaja sebagai persediaan kepada guru tetapi juga sebagai panduan dalam pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran. Pelajar belajar dalam berbagai cara  dengan melihat dan mendengar, merefleksi dan melakukan, berfikir secara logik dan intuitif, dan menghafal, mengingat dan menggambarkan.
Pembelajaran tidak hanya berkaitan dengan penambahan pengetahuan dan mengingat semula maklumat yang dipelajari tetapi merupakan aktiviti menguasai konsep dan memahami maklumat pengetahuan dan seterusnya dapat mengaplikasinya ke dalam kehidupan (Hargreaves, 1996). Pembelajaran melibatkan usaha menguasai kemahiran dan pengetahuan di samping membentuk sikap. Kajian dalam bidang psikologi dan pendidikan menunjukkan individu mempunyai kemahiran yang berbeza memproses maklumat. Kaedah tersendiri individu mencari, menyimpan dan mengeluarkan semula maklumat dikenali sebagai gaya pembelajaran (Felder dan Henriques, 1995). Oleh itu untuk berjaya, individu pelajar perlu memiliki sifat belajar dan menguasai kaedah belajar untuk mendapatkan pengetahuan dan kemahiran.
Proses Pengajaran dan pembelajaran pada masa kini perlu lebih relevan dan menerima serta mengaplikasikan perubahan. Peranan seorang guru perlu maju setapak dan tidak tetap berada di takuk yang lama di mana guru sahaja yang melakukan segala aktiviti pengajaran tanpa murid-murid membuat sebarang aktiviti. Peranan seorang guru harus dilihat dari pelbagai perspektif, kalau dahulu hanya guru yang bersuara dan menyampaikan maklumat kini murid-murid juga terlibat dalam aktiviti pengajaran di mana mereka bukan sahaja melakukan seperti apa yang dikehendaki tetapi juga pada masa yang sama mencari dan mendapatkan ilmu itu dengan sendirinya dengan bantuan guru.

Teori Konstruktivisme
Teori Konstruktivisme berlandaskan bahawa ilmu pengetahuan tidak boleh wujud di luar minda, tetapi dibina dalam minda berdasarkan pengalaman sebenar. Antara tokoh yang bertanggungjawab memperkanalkan teori ini adalah L. Vigotsky dan Jean Piaget.
Berdasarkan kepada teori Konstruktivisme, dalam peyampaian matapelajaran pendidikan jasmani dan kesihatan guru perlu merancang pengajaran dan pembelajaran dengan teliti dan menyediakan aktiviti-aktiviti yang mengambil kira keupayaan murid. Bagi pelaksanaan pengajaran ini, guru akan bertindak sebagai penasihat, fasilitator dan perancang sahaja, manakala murid-muridlah yang akan memainkan peranan yang aktif di mana mereka akan melakukan segala aktiviti pembelajaran yang telah dirancang dan pada masa yang sama mestilah berkaitan dengan keupayaan murid yang ditekankan.
Pendekatan cara penyampaian pengajaran dijalankan dengan menggunakan model koorperatif dan model perbincangan. Implikasi teori konstruktivisme dalam membantu guru menyampaikan pengajaran juga dapat dilihat apabila Zon Perkembangan Proksimal dalam diri murid-murid berdasarkan beberapa aktiviti yang dijalankan di dalam kelas digunakan. Hal ini bertujuan untuk mengetahui tahap murid tersebut sama ada berada di zon bawah ataupun zon atas. Hal ini secara tidak langsung akan memudahkan guru mencari pendekatan yang bersesuaian untuk membantu murid menguasai sesuatu sesi pembelajaran.
Pendekatan konstruktivisme dalam erti kata lain merupakan suatu proses yang di mana proses pembelajaran aktif melibatkan murid-murid berjalan dan maklumat serta ilmu yang diperolehi adalah dari murid-murid itu sendiri. Ilmu dan maklumat yang diterima merupakan sesuatu yang berasaskan pengalaman sedia ada dalam murid-murid itu sendiri dan guru akan berperanan sebagai fasilitator yang membantu dan mengarahkan pengetahuan sedia ada itu secara berangkai dengan subjek atau tajuk yang hendak disampaikan oleh guru. 
Selain itu guru juga boleh menggunakan khidmat murid-murid yang sudah mahir dalam pergerakan sesuatu aktiviti untuk membantu guru dengan mengajar rakan-rakan sekelasnya. Bantuan daripada rakan-rakan yang lebih mahir adalah sangat membantu kerana berkemungkinan besar murid yang tidak mahir itu lebih selesa diajarkan oleh rakan-rakan yang lebih dikenali dan mesra. Kanak-kanak juga sebenarnya adalah lebih mudah memahami sesuatu perkara itu apabila dibimbing oleh rakan sebaya mereka jika dibandingkan dengan guru.
Apa yang diajar oleh guru perlu dikaitkan dengan situasi sebenar dan dengan itu apa yang diajar oleh guru mudah difahami dan diingati oleh para murid kerana tugasan autentik yang berasaskan masalah alam nyata, pengalaman berasaskan konteks sebenar, aktiviti simulasi dan sebagainya apabila dijalankan oleh guru ketika di dalam kelas . Gerak kerja dalam kumpulan juga dapat mewujudkan interaksi yang berkualiti di kalangan murid-murid. Melalui aktiviti yang dirangka oleh guru dan dilakukan secara berkumpulan, murid secara tidak langsung dapat berkongsi idea, mendapat pemahaman yang lebih jelas daripada rakan-rakan yang lebih mahir serta dapat meluahkan buah fikiran mereka.

Teori Kognitif
Teori Kognitif yang dipelopori oleh Jean Piaget tertumpu kepada perkembangan kognitif kanak-kanak dan teori ini sangat berkaitan dan relevan apabila digunapakai dalam matapelajaran yang menggunakan banyak pergerakan seperti matapelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK). Seorang guru PJK perlu memahami konsep teori Kognitif kerana ianya amat membantu guru untuk memahami keadaan perkembangan murid-murid secara amnya dan ia memberi gambaran tahap kognitif murid-murid dan sekaligus memberi panduan yang jelas dalam merangka aktiviti-aktiviti yang sesuai dalam proses pengajaran dan pembelajaran harian. Menurut Piaget, perkembangan kognitif kanak-kanak adalah berbeza dan berubah melalui empat peringkat; peringkat deria motor (0-2 tahun), pra operasi (2-7 tahun), operasi konkrit (7-12 tahun) dan operasi formal (selepas 12 tahun). Teori ini juga menekankan lima konsep asas iaitu skema, adaptasi, keseimbangan, asimilasi dan akomodasi.
Seperti yang disebut tadi, isi kandungan hendaklah disusun mengikut perkembangan kognitif kanak-kanak dan yang paling relevan adalah daripada konkrit kepada abstrak, dekat kepada jauh, pengalaman sedia ada kepada pengetahuan baru dan daripada kasar kepada halus. Contohnya, untuk mengajarkan tentang kebersihan diri salah satu tajuk dalam matapelajaran PJK tahun satu, mulakan dengan memberi contoh yang diketahui oleh murid- murid terlebih dahulu seperti apa yang perlu mereka lakukan sebelum makan atau sebaik sahaja bangun dari tidur di waktu pagi. Selain daripada itu, guru seharusnya berperanan sebagai fasilitator dalam proses P&P yang bertugas sebagai penyusun maklumat yang hendak disampaikan bagi memudahkan murid mengaitkan pelajaran baru dengan pelajaran lepas.
Seterusnya, guru perlu sedar dan ingat bahawa ada murid yang berada dalam mod pembelajaran yang berbeza dan guru perlu bijak memainkan peranan dalam menguasai proses P&P. sebagai contoh, jika terdapat murid yang tidak dapat menumpukan perhatian dalam proses pembelajaran yang berlangsung, guru perlu memikirkan cara yang efisyen bagi menarik minat mereka dengan menggunakan pelbagai aktiviti yang menarik dan yang mampu dilakukan oleh mereka dengan merujuk kepada perkembangan kognitif murid-murid. Contohnya, acara lari berhalangan 80 meter tidak sesuai diajar kepada murid-murid tahun 1 atau bagi murid-murid yang mempunyai masalah kesihatan. Oleh itu kepekaan amat penting dan perlu dititikberatkan.

Teori Kecergasan Pelbagai
Teori kecergasan pelbagai ini dikemukakan oleh Gardner (1983) dalam bukunya Frames of Mind: The Theory of Multiple Intelligences. Definisi kecerdasan pelbagai yang diberikan oleh Gardner (1983) adalah; “An intelligence is the ability to solve problems, or to create products that are valued within one or more cultural setting”.

Teori kecergasan pelbagai boleh dilihat sebagai pelengkap kepada teori kognitif Piaget yang dibincangkan sebelum ini. Berdasarkan teori kognitif Piaget guru perlu mengenalpasti kemampuan berdasarkan kematangan kognitif kumpulan sasarnya dan seterusnya menyediakan aktiviti dalam rancangan pengajaran harian yang boleh dilaksanakan dengan jayanya dan paling penting sesuai dan selamat. Secara ringkasnya, teori kecergasan pelbagai ini dipelopori oleh Gardner dan beliau percaya bahawa setiap manusia mempunyai 8 kecerdasan dan ia boleh dibangunkan.
Setiap murid itu unik dan berbeza-beza dan untuk memastikan kecenderungan kecerdasan pelbagai yang dominan guru perlu menjadi seorang pemerhati dengan membuat pemerhatian kepada tingkah laku murid-murid semasa dalam proses pembelajaran. Soalan-soalan asas untuk menentukan kecerdasan pelbagai yang dominan dalam seseorang murid boleh dibuat berdasarkan kepada aktiviti yang digemari pada masa lapang atau di luar bilik darjah.
Berikut contoh bagaimana guru PJK dapat mengaplikasikan teori ini dalam pengajaran dalam kelas. Perlu diingat bahawa matapelajaran PJK ini bukan sahaja perlu dijalankan di dalam kelas tetapi perlu dijalankan di luar kelas.
a)    Verbal-Linguistik – Gardner (1983) mendefinisi kecerdasan verbal-linguistik sebagai berfikir dengan perkataan dan menggunakan bahasa untuk menyatakan dan memahamkan makna yang sukar dan kompleks. Aktiviti yang boleh dijalankan ialah ‘Pencarian Harta Karun’. Guru menyediakan arahan dan pembayang diberikan dalam bentuk tulisan.
b)   Logik-Matematik -   Semasa menjalankan aktiviti seperti melompat bintang, murid-murid mengira bersama atau secara berdikari.
c)    Visual-Ruang – Guru boleh menyuruh para murid melakukan senaman berdasarkan kepada pergerakan yang ada dalam persekitaran. Visual ruang diertikan sebagai berfikir menggunakan gambar dan mempersepsikan dunia visual secara tepat, berkebolehan bertikir dalam tiga dimensi dan mencipta semula aspek sesuatu pengalaman visual melalui imaginasi.
d)   Muzik – Menurut Gardner (1983), kecerdasan muzik didefinisikan sebagai kebolehan untuk menghasil dan menghargai irama, nada dan bentuk-bentuk peluahan muzik. Senam aerobik yang menggunakan muzik yang berentak perlahan atau berentak laju untuk memberansang suasana.
e)    Kinestetik – Senam aerobic, melakonkan pergerakan alam semulajadi dalam pergerakan murid-murid. Ia juga melibatkan koordinasi motor seseorang murid dalam menjalankan aktiviti seperti menyambut bola, menendang, memukul, melompat dan sebagainya. Kinestetik pula dibentuk berasaskan kebolehan mengawal satu pergerakan bahagian badan dan mengawal objek dengan penuh kemahiran. lanya melibatkan deria koordinasi dan ketepatan keseluruhan pergerakan badan serta menggunakan kedua-dua tangan dalam kemahiran manipulasi (Gardner, 1983).
f)     Interpersonal – Aktiviti yang berkaitan interpersonal ini sesuai dilakukan bagi Pendidikan Kesihatan yang dijalankan dalam kelas. Contohnya dalam aktiviti membaca yang melibatkan pembelajaran kendiri, rakan sebaya boleh membantu rakan-rakan mereka dengan memberikan tunjuk ajar. Ia juga berkaitan dengan segala aktiviti yang dijalankan secara berkumpulan. Gardner (1983) meringkaskan kecerdasan interpersonal sebagai kebolehan memahami orang lain, apa tujuan mereka, bagaimana mereka bekerja, dan bagaimana bekerja secara koperatif.
g)   Intrapersonal – kecerdasan intrapersonal berlawanan dengan interpersonal, di mana ia merupakan kemampuan mengetahui diri sendiri dan bertindak sewajamya berasaskan pengetahuan tersebut (Gardner, 1983). Di akhir P&P guru boleh membantu murid-murid untuk meransang kendiri dengan bertanyakan bagaimana perasaan mereka secara langsung samada mereka berasa seronok melakukan aktiviti yang telah dijalankan.
h)   Naturalis – Seperti yang telah diulas di atas, guru boleh menggunakan pergerakan semulajadi contohnya, liuk lalang yang ditiup angin, cara rama-rama terbang, ombak yang beralun dan sebagainya. Kecerdasan naturalis melibatkan kebolehan untuk memahami dan kepekaan kepada alam semulajadi termasuk tumbuhan, haiwan dan hubungan saintifik (Gardner, 1983).

Model Kolb
Selain daripada teori-teori yang telah dibincangkan di atas, teori gaya belajar Model Kolb juga amat membantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Menurut David Kolb (dalam Nasution 2005:111) yang dipetik oleh Ramlah Jantan dan Mahani Razak dalam hasil karya mereka, “Gaya belajar model Kolb ialah gaya belajar yang melibatkan pengalaman baru siswa, mengembangkan observasi/merefleksi, menciptakan konsep, dan menggunakan teori untuk memecahkan masalah.” Dari batasan pengertian gaya belajar model Kolb di atas, terdapat dua aspek, yang pertama pengalaman konkrit pada suatu pihak dan konseptual abstrak pada pihak lain; kedua eksperimen aktif pada suatu pihak dan pemantauan secara reflektif pada pihak lain.
Cara pembelajaran murid boleh dikelaskan berdasarkan kepada model pembelajaran Kolb dan sesuai dijalankan secara individu dan juga dalam kumpulan. Berikut adalah contoh langkah-langkah penerapan gaya belajar model Kolb pada matapelajaran Pendidikan Jasmani yang dijalankan di luar bilik kerja.
Dalam bahagian aplikasi pengajaran, murid-murid dibahagikan ke dalam beberapa kumpulan dengan ahlinya dalam bilangan yang sama. Murid-murid diberikan motivasi dan penerangan mengenai pelajaran yang bakal dijalankan. Ini dijalankan untuk menyediakan murid-murid sebelum aktiviti dijalankan. Contohnya, untuk mengajar bermain bola tampar bagi tahun lima guru perlu menerangkan peraturan asas bagi permainan ini. Bagaimana membuat ‘servis’, ‘digging’, ‘setting’ dan ‘smashing’.
Langkah pertama, setiap ahli kumpulan dikehendaki untuk mencuba ‘digging’ secara  bergilir dengan membuat satu bulatan besar dan ketua kumpulan berada di tengah-tengah bulatan sebgai pembantu. Ini merupakan langkah memantau atau melihat.
Dalam langkah mencipta konsep, para murid berpeluang untuk mencari keselesaan mereka dalam melaksanakan aktiviti tersebut, cara menggenggam tangan dan menyambut bola dengan posisi badan serta kaki yang betul agar tidak menimbulkan kecederaan semasa melakukan aktiviti tersebut.
Langkah seterusnya, murid-murid melakukan aktiviti tersebut dengan lancer dan teratur tanpa berlaku perebutan bola tetapi secara bergilir-gilir dan mula menggunakan suara sebagai syarat atau ‘signal’ jika seseorang murid itu mahu mencuba menyambut bola dengan cara ‘digging’. Pada tahap ini murid-murid sepatutnya bergerak mengikut arah bola dan pada masa yang sama dapat memberitahu rakan-rakan mereka akan tindakan yang bakal diambil. Syarat bahasa yang biasa digunakan ialah, ‘My ball’ atau ‘Let’.
Sebagai penutup, murid-murid dan guru akan berbincang secara ringkas mengenai apa yang perlu dilakukan dan tidak dalam menjalankan aktiviti tersebut dan pada masa yang sama guru juga akan memberikan galakan kepda semua murid agar berlatih teknik-teknik asas bermain bola tampar tanpa merasa riasu untuk menjadi yang terbaik atau rasa takut untuk melakukan kesalahan.

Rumusan
Berdasarkan kepada contoh tadi dapat dirumuskan bahawa langkah pertama sama juga dengan peringkat pengamatan dan perasaan dengan melihat situasi konkrit dari pelbagai sudut dan cuba untuk mempelajarinya. Kemudian assimilator merupakan proses di mana proses berfikir dan melihat atau mengamati berlaku sebelum murid itu melakukan aktiviti tersebut dengan sendiri. Ketua kumpulan yang mahir dengan teknik ‘digging’ itu menjadi model tau contoh kepada murid-murid yang tidak tahu. Kemudian apabila mereka mula melakukan latihan ‘digging’ dengan sendiri, ini merujuk kepada kombinasi berfikir dan melaksanakan. Murid-murid yang dapat mencapai tahap ini adalah mereka yang cenderung membuat praktikal atau ‘on-hands’.
Berdasarkan teori pembelajaran Kolb, murid-murid dilihat sebagai mereka yang bersungguh-sungguh untuk mempelajari sesuatu yang baru dan sentiasa bersedia untuk terlibat dalam mana-mana aktiviti dalam kelas. Mereka cenderung untuk bertindak mengikut kata hati dan intuisi atau naluri.
Sebagai rumusan, sebagai seorang guru, kita perlu sensitive dan mengambiltahu akan perkembangan para murid kita. Rancangan pengajaran harian yang dibuat haruslah sejajar dengan pertumbuhan dan sesuai bagi anak-anak murid kita agar mereka dapat melakukannya dan pada masa yang sama dapat mengelakkan berlakunya kecederaan kepada mereka akibat aras kesusahan yang dirancang adalah terlalu tinggi dan tidak mampu dilakukan menurut teori Piaget.  Guru juga seharusnya membantu murid-murid dalam pembelajaran mereka melalui penyampaian pengajaran yang sesuai dengan minat dan kecenderungan mereka seperti yang disampaikan oleh Gadner dalam teori Kecerdasan Pelbagai. Guru jug seharusnya memberikan ruang untuk belajar kepada murid-murid dengan meminimakan campur tangannya dalam pembelajaran sendiri atau secara berdikari dan hanya berperanan sebagai pendorong, pencetus idea dan juga sebagai fasilitator kepada mereka. Guru juga haruslah mempelbagaikan gaya penyampaian semasa mengajar dan pada masa yang sama perlu mempelbagaikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran kerana setiap murid adalah berbeza dan unik. Maka, tidak ada cara mutlak mengajar yang perlu diikuti seratus peratus. Guru perlu pandai mencampur-adukkan strategi penyampaian pengajaran dan menggunakan pelbagai kaedah menyoal kepada murid-murid.
Pada masa yang sama, guru perlu juga menyediakan alat bantu mengajar serta aktiviti pembelajaran yang menarik dan berkesan untuk mengelak murid-murid merasa bosan atau tersisih. Akhirnya, para guru harus sedia maklum yang tujuan dan objektif utama menyampaikan pengajaran adalah agar murid-murid itu faham dan mampu melakukannya walaupun tidak secara total mahir. Guru perlu sentiasa memotivasi dan memantau perkembangan mereka agar dapat membuat perancangan mengajar yang sepatutnya.

No comments:

Post a Comment